KUCHING: Jurang digital luar bandar bakal dirapatkan dengan pembinaan ‘MEASAT-3d High Throughput Satelite East Malaysia Gateway’ di sini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, projek hasil kerjasama antara Reach Ten Communication Sdn Bhd (Reach10) dengan MEASAT itu akan memberi akses kepada jalur lebar berkelajuan tinggi.
“Saya difahamkan, gerbang baharu Malaysia Timur ini mampu menyediakan ketersambungan bagi 3,000 lokasi tambahan di kawasan luar bandar di Sarawak.
“Projek ini akan disokong oleh satelit kelapan MEASAT dalam orbit iaitu MEASAT-3d yang bakal dilancarkan pada bulan Jun depan,” katanya pada majlis pecah tanah bagi projek tersebut di Zon Perindustrian Bebas Samajaya di sini pada Khamis.
Menurut beliau, MEASAT-3d akan memberikan akses kepada jalur lebar berkelajuan sehingga 100Mbps dengan kos yang efektif bagi kawasan yang tidak mempunyai mana-mana rangkaian daratan di seluruh negara.
Tambahnya lagi, pelaksanaan projek tersebut semestinya akan menyumbang kepada sasaran Kerajaan Sarawak untuk menggandakan ekonomi negeri dari RM136 bilion pada 2019 ke RM282 bilion menjelang 2030 selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Bagi mencapai matlamat PCDS 2030, usaha merapatkan jurang digital luar bandar penting dalam memastikan semua rakyat Sarawak mempunyai peluang sama rata untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekonomi negeri,’’ ujarnya.
Sementara itu, Datuk Julaihi menjelaskan, satelit baharu itu akan meningkatkan kapasiti untuk wujudkan masyarakat digital yang inklusif di samping menyokong penggunaan aplikasi jalur lebar tinggi untuk kegunaan sektor-sektor seperti kesihatan serta pendidikan.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Ir. Alice Jawan Empaling, serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation, Sudarnoto Osman. -Edisi UKAS
Sumber dari : UKAS